Rabu, 6 Mac 2013

Tempat Duduk Tak Rok.




Pada suatu hujung minggu nan indah dan penuh dengan terikan cahaya matahari yg bertoleransi, aku dan Syledali telah mengambil keputusan mentah-mentah untuk pergi menonton cerita Rock Oo!! di Wangsa Walk. Dalam masa yg sama, kami juga merancang untuk terserempak dengan Nazmi Faiz dan makwenya disana. Ternyata perancangan kami tidak sia-sia.




Selesai sahaja membeli tiket yg tayangannya dijadualkan pada jam 3.05 petang, aku dan Syledali berlegar-legar tanpa hala tuju, apetah lagi hala madrid, sambil berborak hal cinggey masing-masing walaupun pada ketika itu kami masih belum kenal erti sebuah ke-cinggey-an.




Kira-kira dalam jam 2.55 petang, kami berdua sudah pun terpacak di depan pintu masuk panggung. Pemuda jenis yg menepati janji macam kami ni, memang jenis yg sesuai dibuat menantu. Begitulah harapan kebanyakan makcik-makcik diluar sana seandainya mereka mengetahui bahawa masih wujud pemuda-pemuda jenis yg menepati janji ni. Bila tengok wayang ni, mana boleh kalau terlepas iklan masa mula-mula sebelum setat cerita tu. Kalau tiket wayang harga 14 ringgit, iklan masa mula-mula tu saja dah makan lebih kurang 4 ringgit. 4 ringgit pulak, zaman sekarang ni bukan senang nak dapat. Orang kebanyakan, paling kuat bersedekah pun, seringgit je. Kadang tu 2 ringgit. Itu pun tolak taknak ambik tisu.




"H17 dan H18, panggung 9".




Begitulah ayat hafazan yg aku ulang-ulang dalam kepala, sebelum masuk ke panggung. Aku sebenarnya dah lama mengamalkan formasi, masuk-cari-duduk-tengok ni tiap kali masuk panggung. Senang tak payah nak sibuk bawak keluar tiket, belek nombor, kehulu kehilir cari tempat duduk. Masuk-masuk je panggung 9, terus meluru ke tempat duduk yg telah dihafazankan tadi. Dalam kes ni, tempat duduk tu bernombor H17 dan H18.





Bila tiba di persimpangan masuk ke tempat duduk, tempat duduk tu hilang. Orang putih kata, lost. Tempat duduk tu yg lost ke atau aku dengan Syledali yg lost masa tu, aku sendiri kurang pasti. Yg pasti, H17 dan H18 tu jadi hilang, pasal ada sederet makwe duduk. Aku pandang ke Syledali, dia pun pandang ke aku. Lepastu Syledali meluru keluar panggung seolah-olah seorang pemain bola yg meluru keluar dari kotak penalti mencari ref untuk melakukan protes. Aku ikut sekali, dan kami berdua melakukan proses dabel cek nombor tempat duduk, dan juga mencari ilham serta penyelesaian untuk situasi cemas yg tak masuk akal macam tu.






Setelah diteliti dan diyakini akan kebenaran dan kesahihan tempat duduk, maka kami berdua masuk semula ke dalam panggung. Sekali lagi, kami berdiri di persimpangan yg sama. Ketika itu, kepala otak aku sedang sibuk untuk menyusun kata yg paling kemas sekali untuk dilontarkan kepada sederetan makwe yg jenis kunyah popkon serupa mulut Kiah yg tengah propa, dan tak menghiraukan orang sekeliling konon tempat duduk dia tu paling sedap dan sahih dalam dunia.






Tinggal sesaat lagi aku nak bersuara, tiba-tiba makwe itu memberikan reaksi awal sesaat yg memotong penyuaraan yg bakal aku lontarkan.






"Tepi sikit, ada orang nak lalu tu...." Makwe kedua hujung, tiba-tiba bersuara kepada makwe paling hujung. Makwe paling hujung pun terus mengesotkan badan kebelakang, rapat terus ke penyandar kerusi. Menyaksikan perkara-perkara begitu terjadi depan mata, aku pula jadi serba salah nak menegur akan hal tempat duduk H17 dan H18 tadi.






Tanpa banyak cakap dan banyak hal, aku terus meluru masuk. Syledali pula tanpa banyak budi bicara, terus ikut gerak geri aku. Mujur ruang yg diberikan tu cukup untuk kami melintas. Aku cuma risaukan biseps dan triseps Syledali je masa tu. Takut kalau-kalau tak celus.






Sampai je ke dalam, aku terus duduk bersebelahan dengan makwe yg keempat dari hujung. Maknanya aku ni dah jadi yg kelima dari hujung, dan Syledali yg keenam dari hujung. Bezanya kami berdua bukan makwe. Bila dah dapat duduk, barulah otak aku mula beroperasi semula dengan mencurah-curahkan idea ke ladang gandum. Mujur tak jadi kokokeranch. Berbekalkan sedikit keberanian dan setengah kecekalan, aku pun mula bersuara, menegur makwe yg disebelah aku tadi.






"Ermm, tumpang tanya. Betul ke seat yg engkorang duduk ni, seat engkorang?" Sebab dalam tiket kami ni, dia tulis H17 dengan H18". Vokal aku lontarkan dengan tenang. Perbualan dengan orang perempuan ni, kita kalau boleh memang kena mulakan dengan "Ermmm". Barulah kita ni nampak macam dalam drama-drama melayu bersiri dekat tivi.





Makwe tu tadi menggelupur raba poket bawak keluar tiket dia. Mujur dia raba poket dia. Kalau yg dia raba tu poket aku, serba salah jugak aku. Lepastu dia bentangkan 4 keping tiket dia yg masih erat bersambung, supaya aku dapat tengok sekali.







"Kah kah kah kah kah! Ni apa hurup pun tak kenal ke???"







Kalau aku cakap macam gitu, konfem aku tengok cerita Rock Oo!! tu dengan bijik mata lebam sebelah. Syledali pulak kemungkinan beso bakal tengok cerita tu dengan biseps kecut sebelah. Apa yg terpapar pada tiket makwe tu tadi adalah, F15 F16 F17 dan F18.





Jangan risau. Sederetan makwe tu tadi, nampak tenang dan bersifat keibuan dengan cara melengah-lengahkan masa untuk berdiri dan beralih arah ke jalan yg lebih benar. Ketika itu, orang-orang yg sudah pun mengambil tempat duduk masing-masing di baris belakang kami, semuanya memandang kejadian dimana makwe-makwe dihalau secara halus tanpa menggunakan makhluk halus, supaya kembali ke tempat asal.






Rupa-rupanya tempat duduk F tu dia punya baris, lagi depan dan lagi dekat dengan skrin. Pandai makwe-makwe ni belot dengan tempat duduk sendiri. Nak cari tempat duduk sedap je. Tempat duduk H tu kira tempat paling rok la dalam panggung tu. Takde dongak-dongak, takde dabik-dabik dada. Tengok cerita sambil kaki sandar ke tempat duduk sebelah, pun takdehal punya.






Sebab benda-benda macam ni lah, aku dah rugi 4 ringgit dah dekat situ pasal iklan dah terlepas. Harap-harap benda-benda macam ni, takdelah menjatuhkan negara sangat.



2 ulasan:

Unknown berkata...

Aku betul betul harap kau buat scene samseng india dengan mengamuk dan terajang bekas popcorn dia orang.

tikusmando berkata...

Orang yg berperwatakan eman manan macam aku ni jenis yg lembut diluar tapi tegas di dalam.